Ahad, Ogos 30, 2009

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN



31 Ogos 2009 - tarikh di mana negara kita akan meraikan sambutan ulangtahun kemerdekaan yang ke-52. Setelah 52 tahun, negara kita telah melalui banyak saat-saat yang menguji ketahanan dan kekuatan, dan setiap kali itu jugalah negara kita bangkit dan terus bangun berdiri sehingga menjadi satu nama yang gah di mata dunia.
Sepanjang perjalanan tersebut, terlalu ramai tokoh-tokoh yang datang dan pergi. Ada wira yang didendang, ada juga yang tidak didendang. Namun, mereka masih setia dan teguh mempertahankan negara.
Kita generasi baru sepatutnya mencontohi tokoh-tokoh ini. Mereka bukan sahaja ikhlas berjuang untuk negara tetapi sanggup berkorban apa saja untuk pastikan kemerdekaan yang dicapai dulu tak hilang begitu sahaja.
Tapi sebaliknya, sekarang ni, kita berusaha untuk memecahbelahkan diri sendiri. Kita tidak dapat menghayati semangat juang nenek moyang kita. Kita tidak lagi memikirkan untuk kesejahteraan semua. Kita lebih mementingkan diri. Apakah contoh yang telah kita berikan kepada generasi akan datang?
Atas sebab itulah, 1Malaysia patut dijadikan asas untuk membangunkan semula nilai-nilai yang telah diamalkan oleh generasi terdahulu. Ini bukan masanya untuk berburuk sangka, bertelagah dan mencaci sesama kita. Ini adalah masa untuk mengukuhkan semula ikatan yang kian longgar, yang mana jika dibiarkan, masa depan lebih 27 juta manusia yang berlindung dengan negara ini akan menjadi kelam.
Fikirkan. Sambutan kemerdekaan yang jatuh ketika bulan penuh rahmat, Ramadhan, pastinya mempunyai hikmah dan maksud yang cukup dalam. Jangan alpa.
Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-52.
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
catatan dari pmr,Jabatan Penerangan Malaysia

Sabtu, Ogos 22, 2009

satu MALAYSIA


Logo 1 Malaysia

Melambangkan visi negara iaitu untuk mewujudkan satu masyarakat yang berpadu dan mempunyai semangat cintakan negara berpandukan Perlembagaan Negara dan Rukun Negara.Mencerminkan rakyat Malaysia yang saling bekerjasama, bermuafakat, berdikari, berfikir dan menghayati satu visi untuk membina satu Negara Bangsa

Isnin, Ogos 17, 2009

SCOUT FOR NATURE



Kempen Scout For Nature ini bertujuaan untuk mempertingkatkan tahap kesedaran dikalangan ahli Pengakap dan warga Malaysia . Khususnya golongan belia dalam kepentingan kita menjaga alam sekitar. Projek pertama dibawah Kempen ‘Scout For Nature’ adalah konservasi penyu iaitu Kempen ‘Egg=Life’ dengan kerjasama WWF Malaysia.


Kempen ini berpontensi untuk mengintegrasikan Pengakap bersama masyarakat. Ia juga memberi peluang untuk membina rangkaian komunikasi baru melalui kepengakapan.
Bersempena Hari Pengakap Sedunia 01-08-2009 dan 100 Tahun Kepengakapan di Malaysia, Majlis Pengakap Kelana Kuala Lumpur telah melancarkan Kempen “Scout For Nature : Egg=Life” dengan matlamat untuk mengumpul 10,000 tandatangan daripada orang ramai sebelum 12 September .
Setiap tandatangan yang dikumpulkan adalah bertujuan untuk konservasi penyu. Daging dan telur penyu mengandungi logam berat,toksid yang tinggi serta mempunyai parasit ,biotoksin termasuk bakteria berbahaya. Jadi , amalan pemakanan daging dan telur penyu ini akan memudaratkan manusia dan membawa maut.

Janganlah kita memakan daging/telur penyu , beli atau jual daging/telur penyu. Ia adalah barangan terkawal di bawah akta Perlindungan Hidupan Liar Bab 102, Seksyen 8(1) dan di bawah Perintah Kastam 2006, Bab 140 dan ia juga merupakan haiwan liar yang dilindungi sepenuhnya oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar , dibawah Akta Perlindungan Hidupan Liar (1972).

Terima kasih atas setiap langkah yang akan diambil untuk menyelamatkan penyu kita dari terus pupus.Maklumat lanjut Hubungi :
Pengarah Projek,
Scout For Nature
D. Arvind
Pengerusi Majlis Pengakap WPKL
Tel : (012-6788805)

Selasa, Ogos 11, 2009

PROGRAM GOTONG ROYONG PERDANA

Segala hormatnya, saya mewakili PPM WPKL bersama MBM menjemput kelana-kelana yang mempunyai kelapangan dan minat membantu ke Program Gotong Royong Perdana bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 15 Ogos 2009 ( Sabtu ) masa 7.30 pagi hingga 1.00 petang di Tanah Perkuburan Islam KL-Karak berhampiran di Taman Selasih Fasa 2. Program ini dianjur oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. Sebarang pertanyaan, sila hubungi Dc Keramat dan ADc Latihan , Zon Keramat.